Amanat Dato Sayed

Amanat Dato Sayed, Ketua Cawangan ANSARAKB

Salam…

2017 sudah melabuhkan tirai, 2018 menjelma menjanjikan sesuatu yang terbaik buat kita semua.

ANSARAKB bukan hanya sebagai alumni biasa, tetapi ianya adalah satu platform yang dapat menyatukan bekas pelajar dan guru MRSM Kota Bharu/Pengkalan Chepa yang sudah lama terpisah. ANSARAKB adalah satu keluarga yang besar. Kita mempunyai 41 batch kesemuanya termasuk adik-adik yang baru sahaja menamatkan SPM pada tahun 2017. ANSARAKB juga merupakan cawangan yang mempunyai keahlian tertinggi di dalam ANSARA MALAYSIA di mana seramai 1,384 ahli (~25% dari jumlah keahlian ANSARA MALAYSIA) yang berdaftar sehingga 31 Disember 2017.

Semangat setiakawan serta persahabatan yang terjalin sekian lama dipupuk untuk menjadi lebih erat melalui pelbagai aktiviti serta program yang dijalankan. Di antara program yang telah dianjurkan tahun lepas oleh ANSARAKB ialah ANSARA Blood Donation Campaign (ABDC), Iftar, Santai Raya, Malam Apresiasi, Mock Interview & Career Talk (MICT), Majlis Asyura, Pertandingan Volleyball, Program Bantuan Banjir, Malidur Rasul dan lain-lain lagi. Manakala di peringkat ANSARA MALAYSIA, ANSARAKB telah memainkan peranan penting di dalam menganjurkan Karnival Syoknya ANSARA yang berjaya menarik penyertaan lebih dari 7,000 peserta melalui 25 jenis sukan/permainan.

Persahabatan yang baik juga adalah dituntut oleh agama. Kita haruslah menolong dan membantu rakan-rakan dari pelbagai peringkat umur tanpa mengharap sebarang balasan. _Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)_

2018 merupakan ulangtahun ke 25 ANSARA Kota Bharu ditubuhkan. Pelbagai aktiviti telah dirancang sebagai tambahan dari tahun 2017 termasuklah program Career Talk setiap bulan di Maktab.

Diharap agar tahun 2018 menjadi lebih bermakna pada kita semua.

Semoga diberi kesihatan yang lebih baik, rezeki yang meluas dan diberkati oleh Allah SWT.

Sayed
KC ANSARAKB

img_20180101_180529_941

img_20180101_180529_943